fb fb fb fb fb

Banjir: 30 buah rumah terjejas

FOTO RTM

BALING, 12 November- 30 buah rumah di dua buah mukim di Daerah Baling, Kedah terjejas dalam kejadian banjir kilat yang berlaku malam tadi.

Kejadian berpunca daripada hujan lebat berterusan selama beberapa jam petang semalam menyebabkan paras air di Sungai Baling melimpah ke penempatan penduduk yang tinggal berdekatan tebing sungai.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (Pertahanan Awam) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, ia melibatkan 24 buah rumah di enam buah kampung di Mukim Pulai iaitu Kampung Asam Jawa, Kampung Charuk Gorok, Kampung Padang, Kampung Bukit Hilir, Kampung Bukit Hitam dan Kampung Lanai.

Sementara itu di Mukim Teloi Kanan melibatkan enam buah rumah di Kampung Tembak B, Paya Menora dan Kampung Guar Tinggi.

Petugas APM daerah Baling bersama pelbagai agensi dan jabatan berkaitan termasuk Bomba dan Polis sentiasa membuat pemantauan dari semasa ke semasa.

Ia bagi memastikan keselamatan penduduk sentiasa terjamin.

Pada masa sama, penduduk dinasihatkan untuk segera berpindah sekiranya paras air semakin meningkat dan merbahaya kepada keselamatan mereka.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD