KUALA LUMPUR, 20 Julai- Malaysia dan Indonesia secara prinsipnya telah bersetuju untuk mengintegrasikan System Maid Online (SMO) dan One Channel System (OCS) yang menjadi pertikaian sehingga Indonesia membekukan penghantaran tenaga kerjanya ke negara ini.
Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata keputusan berkenaan dicapai dalam pertemuannya bersama Duta Besar Indonesia ke Malaysia Hermono semalam yang turut disertai pegawai kanan daripada Kementerian Sumber Manusia.
“Kedua-dua pihak telah bersetuju secara prinsip untuk mengintegrasikan SMO dengan sistem OCS yang digunakan oleh Indonesia dan kedutaan akan mengambil tindakan sewajarnya selepas mendapat persetujuan daripada Jakarta,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program Bicara Naratif bertajuk Imigresen: Transformasi Digital Asas Kecemerlangan di RTM1 malam tadi.
Khairul Dzaimee berkata Kementerian Sumber Manusia juga telah menulis surat secara rasmi kepada Kedutaan Indonesia agar tenaga kerja dari negara berkenaan bagi sektor yang lain dibenarkan masuk ke Malaysia, sementara menunggu persetujuan secara prinsip itu dijadikan persetujuan rasmi.
Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata kerajaan dan pihak Indonesia telah memulakan perbincangan mengenai isu pembekuan pekerja asing dari negara itu.
Minggu lepas Hermono memaklumkan mengenai keputusan Indonesia mengenakan pembekuan sementara ke atas semua pekerja negara itu memasuki Malaysia sejak 13 Julai lepas.
Ini berikutan Jabatan Imigresen terus menggunakan SMO dalam urusan permohonan pembantu rumah warga asing oleh majikan, biarpun kedua-dua negara bersetuju menggunakan satu saluran iaitu OCS menerusi memorandum persefahaman (MoU) Pekhidmat Domestik Indonesia (PDI) yang dicapai pada April lepas.
(Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud)
Berita berkaitan
Pekhidmat domestik Indonesia: KL-Jakarta sepakat integrasikan sistem pengambilan
Dalam pada itu, Khairul Dzaimee berkata sempena Hari Imigresen 2022 yang akan disambut Khamis ini, pihaknya mengadakan Hari Bersama Pelanggan bermula semalam sehingga Jumaat ini.
Katanya orang ramai boleh datang untuk membuat pembaharuan pasport, visa dan melakukan pelbagai perkhidmatan imigresen di dewan serbaguna di Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Putrajaya.