PUTRAJAYA, 22 Februari- Malaysia dan Indonesia mencapai persefahaman untuk mengambil pendekatan positif dan konstruktif dalam mengendalikan isu-isu berkaitan pengambilan dan perlindungan pekhidmat domestik Indonesia (PDI).
Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, persefahaman itu dicapai dalam perbincangan susulan pada Isnin selepas perbincangan pertama Kementerian Luar dengan Duta Indonesia ke Malaysia, Hermono itu diadakan pada 16 Februari lalu.
"Sebarang isu yang timbul akan disalurkan melalui kementerian atau agensi kerajaan yang berkaitan.
"Langkah sedemikian penting bagi mengelakkan sebarang kekeliruan dan salah faham dalam kalangan masyarakat," menurut kenyataan berkenaan.
Baru-baru ini, Hermono dilaporkan mengeluh mengenai layanan buruk diterima pembantu rumah warga Indonesia di negara ini dan beliau membandingkan keadaan di Singapura, di mana hampir tiada kes penganiayaan sedemikian dilaporkan terhadap warganya di negara itu.
Hermono berkata, terdapat banyak kes pembantu rumah warga Indonesia di Malaysia dipaksa bekerja untuk majikan bertahun-tahun tanpa gaji, malah ada yang bekerja lebih sedekad dalam keadaan sedemikian.
Katanya, pembantu rumah dari negaranya juga berdepan masalah dokumen pengenalan diri dirampas majikan, waktu bekerja panjang tanpa cuti dan penderaan fizikal.
Oleh itu, katanya, cadangan memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Indonesia penting bagi melindungi kebajikan rakyatnya yang bekerja sebagai pembantu rumah, dalam sektor perladangan dan pembuatan di negara ini.
Dalam pada itu, Malaysia dan Indonesia sebelum ini bersetuju untuk melaksanakan projek rintis pengambilan 10,000 PDI dari negara jiran itu. Bagaimanapun, MoU berhubung projek itu masih belum dimeterai.
"Perbincangan turut menyentuh status rundingan Memorandum Persefahaman (MoU) Pengambilan dan Perlindungan PDI antara kedua-dua negara," menurut kenyataan itu lagi.
Menurut kenyataan itu, ia bagi memastikan proses pengambilan PDI diatur urus dengan baik dan isu perlindungan mereka terus diberi perhatian utama mengikut ketetapan dasar dan perundangan yang berkuat kuasa di kedua-dua negara.