fb fb fb fb fb

Semak status sekatan perjalanan sebelum rancang ke luar negara -LHDN



KUALA LUMPUR, 22 Februari- Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) menyarankan semua pembayar cukai agar membuat semakan status sekatan perjalanan terlebih dahulu sebelum merancang untuk ke luar negara bagi sebarang tujuan.

LHDN dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, sekatan perjalanan ke luar negara adalah tindakan yang dikenakan kepada individu dan pengarah syarikat yang tidak menjelaskan cukai pendapatan, cukai keuntungan harta tanah (CKHT) dan cukai syarikat.

Menurut kenyataan itu, pemakluman mengenai tindakan terbabit akan dibuat ke alamat terakhir yang dikemaskini oleh pembayar cukai kepada agensi berkenaan melalui data percukaian terkini yang direkodkan.

Pembayar cukai boleh menyemak status tunggakan cukai dan sekatan perjalanan melalui portal MyTax di pautan https://mytax.hasil.gov.my/ atau laman web Jabatan Imigresen di https://sspi.imi.gov.my/sspi/.

"Sekiranya pembayar cukai mempunyai tunggakan cukai dan dilarang ke luar negara, mereka dinasihatkan untuk menghubungi pejabat cawangan LHDN yang mengendalikan fail cukai mereka bagi tindakan sewajarnya," katanya.

Pertanyaan serta maklum balas berkaitan boleh disalurkan melalui Hasil Care Line di talian 03-89111000 / 603-89111100 (luar negara), HASiL Live Chat dan borang maklum balas di portal rasmi HASiL di pautan pantas https://maklumbalaspelanggan.hasil.gov.my/MaklumBalas/ms-my/.

Media Baharu