fb fb fb fb fb

Satelit alternatif perluas capaian internet- Zahidi



SUBANG JAYA, 22 Februari- Kerajaan sedang berusaha untuk mengguna pakai satelit bagi memperluas rangkaian internet kepada seluruh masyarakat di negara ini.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, penggunaan satelit itu sebagai alternatif kepada rangkaian internet 5G dan 4G yang sedang dalam peringkat memastikan semua kawasan tidak mengira halangan berbukit mahupun perairan laut.mendapat liputan itu.

Beliau berkata, banyak rungutan diterima terutamanya daripada penduduk di kawasan pedalaman yang sukar mendapatkan akses internet.

Jelasnya, perkhidmatan 5-G berdepan pelbagai cabaran kerana syarikat yang menguruskannya terpaksa melalui pelbagai tapisan terutama daripada kerajaan negeri, kerajaan tempatan dan tuan tanah.

Justeru katanya, ia tidak semudah memasang elektrik atau paip ke rumah yang sudah mempunyai kemudahan itu sejak awal lagi.

“Nak masukkan bekalan elektrik, Tenaga Nasional Berhad (TNB) tidak hadapi masalah kerana sudah ada tiang elektrik. Begitu juga nak masukkan bekalan air, paip sudah sedia ada.

“Perkhidmatan internet 5G dan 4G ini tidak ada kemudahan itu dari awal. Kita kena usaha satu per satu, baharu boleh sediakan rangkaian internet. Jadi, ini yang saya katakan, ia mengambil masa,” katanya.

“Sebelum kita mulakan 5G, kita nak lengkapkan rangkaian 4G dahulu. Yang 4G ini sahaja mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun untuk siap sepenuhnya.

“Oleh itu, mengenai rangkaian 5G ini kita serahkan kepada sebuah syarikat untuk urusnya. Kerajaan sekarang nak tumpu penyediaan perkhidmatan internet 4G dahulu.

“Sekarang ini banyak rungutan diterima dari masyarakat yang mengadu kawasan mereka di pedalaman tidak ada rangkaian internet, nelayan di laut mengadu tidak ada rangkaian internet,” katanya selepas merasmikan program realiti “Jari Neraka” di Skypark@One City, di sini pada Isnin.

Sementara itu, berhubung dakwaan wujud syarikat memonopoli perkhidmatan itu, beliau berkata, kerajaan sememangnya mahu mengelakkan perkara seumpama itu berlaku.

“Dasar kita tidak mahu wujudnya monopoli, tetapi apabila sistemnya tidak sama, ia terpulang kepada syarikat berkenaan. Namun, apa yang kita tahu, syarikat ini akan buka tender kepada syarikat lain, dan ia tidak jadi monopoli,” katanya.

Pada sidang media berkenaan, Zahidi turut menyatakan, KKMM menggalakkan lebih banyak syarikat produksi swasta untuk bersama-sama mewujudkan program bagi mendidik orang ramai menggunakan media sosial secara berhemah.

Zahidi berkata, kerjasama itu boleh dilakukan dengan agensi di bawah kementerian tersebut seperti CyberSecurity Malaysia serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia.

“KKMM akan sentiasa memberi sokongan dalam pewujudan program sebegini sebab media sosial ini kalau disalah guna akan menyebabkan negara menjadi kelam-kabut dengan penyebaran fitnah,” katanya ketika melancarkan program realiti ‘Jari Neraka’ terbitan syarikat Rentak Sehati Sdn Bhd.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab dan Presiden Persatuan Seniman Malaysia Zed Zaidi.

Pengurus Produksi Rentak Sehati Sdn Bhd Ahmad Qusairy Faudzi pula berkata Jari Neraka merupakan program realiti yang bertujuan memberi didikan dan pengajaran kepada warganet mengenai penyalahgunaan media sosial.

“Waktu sekarang ini kecaman, fitnah dan spekulasi menjadi normal dalam kalangan kita, nampak seperti tak ada apa tetapi pihak yang terlibat boleh mendapat depresi dan tekanan sehingga boleh menyebabkan kematian, sebab itu kita tidak mahu perkara ini berlaku,” katanya. 

Program itu akan disiarkan menerusi saluran YouTube syarikat berkenaan mulai semalam.

Media Baharu