fb fb fb fb fb

44 dikompaun merokok dalam premis makan




KUALA LUMPUR, 22 Februari- Sebanyak 44 kompaun bernilai RM11,000 dikeluarkan atas kesalahan merokok di tempat awam hasil operasi bersepadu Kementerian Kesihatan (KKM), Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan di sekitar ibu negara pada malam Isnin.

Operasi yang bermula pukul 8 malam itu bertumpu di 262 premis perniagaan di tempat tumpuan utama di Jalan Bukit Bintang, Bangsar dan Jalan Alor, di sini/

Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit KKM, Datuk Dr Norhayati Rusli memaklumkan, operasi yang dijalankan adalah bagi memastikan pematuhan kepada larangan merokok dan perkara berkaitan terutama di tempat makan.

Beliau berkata, kompaun berkenaan dikeluarkan mengikut peraturan 11 di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004.

"Dalam operasi itu, seramai 44 pelanggan menerima notis kesalahan mengikut Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004.

"Manakala bagi kesalahan melibatkan peraturan 12 PPKHT 2004 kita telah mengadakan lawatan sebanyak 262 premis dengan 8 notis tiada tanda larangan dan menyediakan kemudahan merokok telah kita keluarkan notis ini dan melibatkan sejumlah kompaun RM4,000,"

"Dalam operasi ini juga seramai 72 orang turut diberikan pendidikan kesihatan," katanya pada sidang media di Bukit Bintang di sini pada Isnin.

Norhayati berkata, operasi itu dilakukan KKM bersama Unit Inspektorat dan Perundangan Negeri Jabatan Kesihatan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur/Putrajaya dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur.

Beliau berkata, KKM serius menangani masalah merokok dan akta baharu yang sedang digubal akan dibentangkan tidak lama lagi.

"Akta baharu itu turut melarang generasi lahir pada 1 Januari 2005 dan seterusnya, memiliki serta membeli sebarang produk merokok," katanya.

"Penguatkuasaan kepada pematuhan larangan merokok di tempat makan akan dijalankan secara berterusan," katanya

Media Baharu