fb fb fb fb fb

Akta tangani penyeludupan migran berkuat kuasa hari ini, 22 Februari

KUALA LUMPUR, 22 Februari- Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2022 (Akta A1644) yang sudah mendapat perkenan diraja pada 19 Januari lalu mula berkuat kuasa hari ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, Akta A1644 yang telah dimasukkan ke dalam warta pada 25 Januari lalu itu diharap mampu memberi solusi terbaik dalam menzahirkan usaha Malaysia menangani jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran dengan lebih efektif.

"Dalam usaha untuk meningkatkan keberkesanan tindakan menangani kedua-dua jenayah yang dinyatakan, pindaan kepada akta ini telah dilaksanakan bagi memperkasa peruntukan berkaitan.

"Secara keseluruhannya, terdapat 17 peruntukan dipinda dengan penambahbaikan yang melibatkan pindaan bagi perkara-perkara antaranya pindaan kepada tafsiran pemerdagangan orang dan pemansuhan tafsiran paksaan.

" Selain itu peningkatan hukuman penjara dan pengenaan hukumansebatan serta peruntukan kesalahan yang lebih berat termasuk melibatkan penjawat awam.

"Pindaan lain ialah pewujudan kuasa menteri dalam pelantikan mana-mana pegawai awam sebagai penguatkuasa di bawah Akta 670.

"Turut dipinda, penambahan keanggotaan organisasi lain dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO).

"Antara pindaan dibuat juga melibatkan peluasan peranan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dalam pengurusan dan kawalan pegawai pelindung serta rumah perlindungan mangsa pemerdagangan orang," menurutnya dalam kenyataan pada Isnin.

Mengulas lanjut katanya, akta itu merupakan instrumen perundangan utama negara dalam mendepani isu perhambaan zaman moden sekali gus membanteras jenayah pemerdagangan orang dan penyeludupan migran di Malaysia.

Katanya, pendekatan menyeluruh kerajaan dan pendekatan menyeluruh masyarakat yang digunakan diyakini mampu menambah baik kedudukan Malaysia dalam sebarang penilaian antarabangsa sekali gus meningkatkan imej negara di mata masyarakat dunia.

Bagi rekod, Persidangan Dewan Negara pada 23 Disember lalu meluluskan Rang Undang-Undang Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (Pindaan) 2021.

Rang undang-undang itu diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas bacaan kali ketiga oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said, setelah dibahas lapan senator.

Rang undang-undang itu bertujuan memastikan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670) selaras dengan kehendak Protokol Palermo dan Konvensyen ASEAN bagi Menentang Pemerdagangan Manusia terutama Wanita dan Kanak-Kanak (ACTIP).

Rang undang-undang itu melibatkan beberapa pindaan yang antara lain termasuk pindaan tafsiran pemerdagangan orang dan pemansuhan tafsiran paksaan.

Media Baharu