fb fb fb fb fb

Malaysia harus segera kuasai teknologi AI, hindar ketinggalan - PM

Anwar Ibrahim

GEORGE TOWN, 5 Mei- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa agar teknologi kecerdasan buatan (AI) diperluas dan segera dilaksanakan supaya negara tidak ketinggalan dalam bidang itu.

Jelasnya, Malaysia harus belajar berdasarkan strategi pendidikan dan pelaksanaan AI di negara-negara ASEAN yang lain.

Anwar turut meminta semua pihak pelaksana terutamanya kementerian untuk memberi fokus melatih golongan anak muda mengenai teknologi berkenaan.

"Belajar daripada apa yang dilakukan di Singapura, Indonesia dan Thailand. Pelarasan (bidang AI) dalam universiti dan sistem pendidikan mesti dilakukan sekarang.

"Kalau rancang untuk tahun 2026... 2027... bidang itu akan menjangkau (ketinggalan). Kita baru belajar (kepakaran) yang tahun 2024, tetapi nak laksana tahun 2027.

"Sebab itu saya mintak pelaksana di semua kementerian memikirnya dalam kadar segera. Kita berhadapan dengan dunia berbeza. Oleh itu, strategi yang sangat berbeza dan cara tindakannya mestilah segera," katanya.

Dalam hal itu, Perdana Menteri berkata, pendedahan bidang Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) harus diberi penekanan dan ditingkatkan dengan memastikan sesiapa sahaja yang berminat termasuk pelajar maahad tahfiz dapat memanfaatkan program disediakan kementerian mahupun agensi kerajaan.

"TVET itu harus ditingkatkan untuk memenuhi (permintaan pelabur) seperti tiga atau empat hari lalu, kita ada Microsoft yang melabur RM10.5 bilion dan ini memerlukan puluhan ribu pekerja.

"Kalau (pelaburan itu melibatkan) semua ekosistem maka ratus ribu pekerja harus dilatih. Apakah kita ada keupayaan itu?" kata Anwar sambil memaklumkan bahawa Malaysia kekurangan 30,000 jurutera ketika ini.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, latihan berkaitan AI dan TVET mesti memberi peluang kepada semua penduduk di setiap kawasan bagi mengelakkan perbezaan keupayaan antara kawasan bandar dan pedalaman.

"Kalau kita ambil kursus ini hanya untuk orang elit bandar maka akan berlaku kesenjangan dengan orang di desa atau kampung. Sebab itu peluang (latihan AI dan TVET) mesti kepada semuanya supaya dapat menguasai (kedua-dua bidang itu) sepenuhnya.

"Saya hendak menekankan harapan saya, Kerajaan Persekutuan akan bekerjasama kerajaan negeri supaya peringkat latihan baharu ini diberikan keutamaan, kalau tidak kita akan ketinggalan," katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Penutup Program MADANI Rakyat 2024 Zon Utara bersekali dengan Majlis Sambutan Aidilfitri MADANI Peringkat Pulau Pinang di Tapak Pesta Sungai Nibong, dekat sini hari ini.

SITI AISHAH MD ISA