fb fb fb fb fb

Kumpulan ketiga perubatan ATM berlepas ke Turkiye malam ini

SEPANG, 11 Februari- Angkatan Tentera Malaysia (ATM) malam ini menghantar kumpulan terakhir pasukan perubatannya bagi mengendalikan operasi Hospital Medan Malaysia (HMM) di Turkiye.

Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Noor Mohamad Akmar Mohd Dom, berkata mereka yang berlepas hari ini adalah kumpulan ketiga yang akan menyertai Operasi Starlight II, selepas kumpulan pertama dan kedua berlepas ke Turkiye semalam.

Beliau berkata kumpulan ketiga ini diketuai Pegawai Memerintah HMM, Kolonel Dr Yussra Yusoff, membabitkan 41 anggota terdiri daripada 16 pegawai dan 25 anggota lain-lain pangkat.


(Panglima Angkatan Bersama,
Leftenan Jeneral Datuk Noor Mohamad Akmar Mohd Dom)

"Kumpulan ini akan berjumpa dengan kumpulan kedua dan bergerak bersama dengan menggunakan pesawat Airforce 100 ke Gaziantep sebelum ke Adiyaman dimana Hospital Medan akan didirikan.

"Insya-Allah, perjalanan agak bagus walaupun berlaku keretakan pada jalan raya di Turkiye dengan suhu sejuk bawah 15 darjah celcius. Saya berharap dan berdoa agar mereka selamat sampai untuk menjayakan operasi ini", katanya pada sidang media selepas menyempurnakan penghantaran kumpulan terakhir pasukan Op Starlight II di Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam ini.

Penerbangan kumpulan terakhir Op Starlight II, berlepas 11.00 malam tadi dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Istanbul 6.30 pagi waktu tempatan.

Media Baharu