fb fb fb fb fb

Malaysia gesa semua pihak campur tangan redakan ketegangan konflik Ukraine-Rusia

KUALA LUMPUR, 29 Mac- Malaysia mengulangi kebimbangan terhadap konflik Ukraine-Rusia dan menggesa semua pihak yang terlibat supaya segera meredakan permusuhan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menegaskan Malaysia juga akan terus menyokong segala usaha demi kepentingan mengekalkan keamanan dan keselamatan serantau dan antarabangsa.

Gesaan sama turut diajukan kepada Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) untuk melunaskan tanggungjawab utamanya mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa.

"Disebabkan kerumitan dan sensitiviti isu ini, melalui undang-undang dan konvensyen antarabangsa yang ditetapkan, semua pihak mesti bekerjasama untuk meningkatkan usaha membina, mengekalkan dan meningkatkan kepercayaan dan keyakinan bersama supaya kita dapat mengekalkan keamanan, keselamatan dan kestabilan di Laut China Selatan," kata Datuk Hishammuddin dalam ucaptama bagi Forum Putrajaya 2022 pada pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) di ibu negara.


(FOTO FB MENTERI)

Mengulas mengenai isu Laut China Selatan, Datuk Seri Hishammuddin berkata kedudukan Malaysia berhubung perkara itu adalah jelas dan konsisten.

Mesyuarat Menteri Pertahanan ASEAN (ADMM) dan ADMM Plus merupakan platform penting bagi menteri pertahanan di rantau ini untuk melibatkan diri dan membincangkan isu-isu kepentingan bersama.

Sementara itu, ASEAN kini berada di landasan yang tepat dalam menangani pandemik COVID-19 meskipun berdepan masalah kekurangan vaksin, logistik serta keengganan orang ramai untuk divaksin.

Datuk Seri Hishammuddin berkata lebih 65 peratus daripada populasi negara anggota telah mencapai tahap imuniti terhadap COVID-19.

"Saya cukup gembira negara-negara anggota ASEAN telah bekerjasama berkongsi amalan terbaik. Dan kini mencapai persetujuan bersama untuk mengatur gelembung perjalanan dan laluan perjalanan (VTL) seiring kemajuan vaksinasi. Sudah pasti, setiap negara memberi tumpuan utama terhadap pemberian vaksin."

"Meskipun berdepan kekurangan bekalan, logistik dan keengganan sesetengah pihak untuk divaksin, hampir 90% populasi berisiko negara ASEAN telah divaksin dengan sekurang-kurangnya satu dos. Di beberapa negara anggota, lebih 65% populasi telah mencapai tahap imuniti COVID-19," tambahnya.

Jelasnya, negara anggota ASEAN telah bekerjasama, berkongsi amalan terbaik dan kini mencapai persefahaman bersama untuk mengurus pelbagai gelembung pelancongan dan laluan perjalanan apabila kadar vaksinasi bertambah baik dari semasa ke semasa.

Media Baharu