fb fb fb fb fb

Lebih 85,000 calon SPM hadapi peperiksaan SPM sesi kedua

BUKIT PIATU, 29 Mac - Seramai 85,700 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2021 akan menduduki peperiksaan berkenaan untuk sesi kedua yang berlangsung pada 5 April hingga 19 Mei ini.

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata jumlah calon tersebut adalah 21.1 peratus daripada keseluruhan 407,097 calon SPM di seluruh negara bagi tahun 2021.

Mereka yang akan menduduki peperiksaan tersebut adalah mereka yang dikuarantin akibat COVID-19 dan terkesan akibat banjir.

"Seperti mana yang kita tengok pada sesi pertama lebih 400,000 orang calon SPM. Sesi kedua 85,000 dan tidak semua menduduki semua kertas peperiksaan, ada yang mungkin tertinggal 1 atau 2 kertas peperiksaan", katanya kepada media selepas Majlis Kesyukuran Pengurusan Peperiksaan SPM 2021 di Sekolah Menengah Teknik Melaka Bukit Piatu.

(Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin)

Sementara itu, seramai 23,885 guru terlibat sebagai pemeriksa kertas peperiksaan tersebut.

Katanya, pemeriksa kertas peperiksaan SPM merupakan guru yang pakar, terlatih dan berpengalaman dalam bidang masing-masing bagi memastikan pemeriksaan dan pemarkahan dilaksanakan dengan baik.

"Dalam konteks ini pemeriksa secara umumnya adalah pemeriksa yang sama tetapi pada masa yang sama akan terdapat tambahan juga.

"Pemeriksa juga terdapat keperluan, Lembaga peperiksaan akan buat penelitian jika ada tambahan terdapat keperluan dalam keadaan tertentu", katanya.

Dalam pada itu, Kementerian Pendidikan akan memastikan semua pelajar dapat kembali ke sekolah seperti biasa tanpa sistem penggiliran.

Demikian dinyatakan Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

Beliau berkata, bermula 4 April pelajar sekolah menengah akan kembali ke sekolah seperti biasa tanpa penggiliran.

"Dan pada hari ini murid sekolah rendah yang mana muridnya kurang dari 600 orang telah hadir ke sekolah tanpa penggiliran. Yang masih bergilir tahun 3, 4 dan 5 untuk sekolah yang mempunyai murid melebihi 600 orang.

"Sebab itu kita akan bawa kumpulan ini ke sekolah tanpa penggiliran dalam masa yang terdekat dan kita sedang memantau sampai masa yang sesuai, akan diumumkan bahawa murid dimana sekolah, jumlah murid di sekolah hanya melebihi 600 orang juga akan dibawa masuk tanpa penggiliran juga.

"Namun kita masih lagi memerlukan sedikit masa untuk membuat pemantauan, katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Kesyukuran Pengurusan Peperiksaan SPM 2021 di Sekolah Menengah Teknik Melaka Bukit Piatu.

Media Baharu