PUTRAJAYA, 20 Februari – Malaysia terpilih sebagai Ahli Majlis Organisasi Antarabangsa untuk Alat Navigasi Marin (IALA) bagi penggal 2025-2027, mencerminkan sokongan kukuh daripada komuniti antarabangsa.
Kementerian Pengangkutan dalam satu kenyataan memaklumkan pemilihan itu dibuat semasa Perhimpunan Agung pertama IALA yang berlangsung di Pusat Konvensyen & Pameran Suntec, Singapura, hari ini.
Malaysia memperoleh 33 daripada 37 undi negara anggota yang layak mengundi, membuktikan pengiktirafan global terhadap komitmen negara dalam meningkatkan keselamatan maritim serta kecekapan navigasi.
Delegasi Malaysia ke perhimpunan itu diketuai oleh Menteri Pengangkutan, Anthony Loke yang secara langsung mempromosikan agenda maritim negara.
Menurut beliau, Malaysia akan terus memperjuangkan penyelesaian inovatif dalam navigasi maritim, termasuk digitalisasi dan inisiatif hijau, selaras dengan matlamat kelestarian global.
Selain itu, Malaysia juga komited dalam mengekalkan piawaian maritim antarabangsa serta memperkukuh kerjasama dengan rakan global bagi memajukan masa depan navigasi marin.