fb fb fb fb fb

Malaysia dan Jepun perkukuh kerjasama dalam sektor pembinaan

Malaysia dan Jepun bertekad memperkukuhkan lagi kerjasama strategik dalam sektor teknologi dan digitalisasi pembinaan, infrastruktur jalan, pengurusan bencana dan cerun / Foto FB Menteri

KUALA LUMPUR, 25 April - Malaysia dan Jepun bertekad memperkukuhkan lagi kerjasama strategik dalam sektor teknologi dan digitalisasi pembinaan, infrastruktur jalan, pengurusan bencana dan cerun.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata kedua-dua negara juga berhasrat memperkukuhkan kerjasama mengenai perkongsian maklumat dalam pengurusan dan penyelenggaraan lebuh raya, cerun serta pertukaran tenaga kepakaran dan teknikal.

Komitmen itu dizahirkan pada pertemuan dengan Timbalan Menteri Tanah, Infrastruktur, Pengangkutan dan Pelancongan Jepun, Kokuba Konosuke di Tokyo pada Rabu.

"Pertemuan ini menjadi kesinambungan hubungan baik antara Malaysia dan Jepun yang telah dimeterai sejak 65 tahun yang lalu. Kerjasama antara Malaysia dengan Jepun selaras dengan tema Dasar Pembinaan Negara 2030 iaitu Pendigitalan Sektor Pembinaan Negara," katanya menerusi kenyataan.

Tambah Nanta, Jepun bersetuju untuk mempertimbangkan jemputan menyertai program antarabangsa anjuran Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

Katanya dua program yang akan dilaksanakan adalah Highway Concession Conference pada 24 - 25 Sept dan International Construction Week pada November depan.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN