fb fb fb fb fb

Malaysia dan Brunei secara dasar setuju laksana VTL -PM

 



BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Februari- Malaysia dan Brunei secara dasar bersetuju untuk melaksanakan Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL) udara dan darat antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, prosedur operasi standard SOP VTL tersebut akan diteliti kementerian berkaitan agar ia dapat dilaksana dengan kadar segera.

Kesepakatan itu dicapai dalam pertemuan empat mata dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah di Istana Nurul Iman pada Selasa.

Cadangan yang telah dipersetujui untuk VTL udara melibatkan penerbangan sebanyak empat kali seminggu antara Malaysia dan Brunei.

Pada masa ini penerbangan antara Kuala Lumpur dan Bandar Seri Begawan hanya dua kali seminggu iaitu pada Rabu dan Jumaat kerana Brunei belum membuka sempadan negara itu berikutan pandemik COVID-19.

Ismail Sabri berkata bagi tujuan itu, kementerian-kementerian yang berkaitan akan meneliti prosedur operasi standard (SOP) bagi melaksanakan inisiatif VTL tersebut.

"Saya minta menteri-menteri berkenaan untuk membincangkan perkara itu pada mesyuarat Kabinet esok agar ia dapat dilaksanakan segera... saya mahu ia disegerakan.

"Saya ada berjumpa dengan warga Malaysia di Brunei dan ada di antara mereka sudah tidak balik ke tanah air 2 tahun, sempadan ditutup, jadi dengan VTL ini disegerakan, maka mereka boleh balik ke Malaysia.

"Dari segi industri pelancongan pun dapat kita buka antara Malaysia dan Brunei, sebab itu saya kata sama ada darat atau udara sekali kalau tanya saya bila, kalau boleh secepat mungkin," katanya.

Malaysia sebelum ini melaksanakan VTL dengan Singapura dan bersetuju untuk pelaksanaan inisiatif itu dengan Indonesia.

Perdana Menteri berkata selain itu, Sultan Brunei juga sudah bersetuju berhubung pengiktirafan penggunaan MySejahtera dan BruHealth di kedua-dua negara bagi memudahkan integrasi sistem dan penggunaan oleh rakyat Malaysia dan Brunei.

Katanya, kerjasama itu juga penting bagi melancarkan pergerakan rentas sempadan rakyat kedua-dua negara.

"Dengan pengiktirafan itu, MySejahtera dan BruHealth boleh digunakan di kedua-dua negara semasa berada di Brunei dan Malaysia," katanya.

Media Baharu