PELABUHAN KLANG, 15 Februari- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) merekodkan hasil rampasan, lelongan, kompaun dan denda berjumlah RM2.7 bilion sejak 17 tahun penubuhan agensi itu.
Ketua Pengarah Maritim Malaysia Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata jumlah tersebut meliputi penguatkuasaan terhadap bot nelayan asing, pendatang tanpa izin, penyeludupan dadah, rokok, ketum serta barangan kawalan lain.
Beliau berkata Maritim Malaysia turut mengkoordinasikan 2,428 operasi mencari dan menyelamat (CARILAMAT) yang melibatkan 10,077 mangsa dan lebih RM650 juta nilai harta benda diselamatkan.
"Beberapa operasi khas yang menjadi penanda aras Maritim Malaysia seperti Operasi Naga, Operasi Kuda Laut, Operasi Jangkar Haram serta Operasi Benteng telah merekodkan kejayaan membanggakan," katanya dalam kenyataan bersempena sambutan Hari Ulang Tahun ke-17 Maritim Malaysia di perairan Selangor hari ini yang dirasmikan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainuddin.
Mohd Zubil berkata sebagai agensi keselamatan yang bernaung di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN), Maritim Malaysia akan terus memberikan komitmen dan melipatgandakan usaha dengan lebih konsisten berteraskan 'Kami Serius Melaksanakannya' demi kelangsungan kemakmuran perairan negara.
Mengenai sambutan ulang tahun penubuhan Maritim Malaysia ke-17, beliau berkata buat julung kalinya pada tahun ini acara perarakan atau lintas hormat aset laut dan udara diadakan di perairan Selangor melibatkan 10 kapal termasuk dua kapal pesisir luar pantai atau `Offshore Patrol Vessel' (OPV) iaitu KM ARAU dan KM PEKAN, enam pesawat udara serta lapan bot.
Katanya selain acara lintas hormat, aset-aset laut dan udara turut mengadakan persembahan formasi serta demonstrasi penguatkuasaan dan menyelamat di laut.