fb fb fb fb fb

Malaysia-China sepakat tubuh institusi pendidikan TVET, fokus bidang baharu

Datuk Seri Zahid menyerahkan 'momento' kepada Naib Presiden China, Han Zheng

KUALA LUMPUR, 9 November- Malaysia dan China sepakat tubuhkan institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di negara ini yang memberi tumpuan kepada bidang baharu.

Bidang baharu tersebut antaranya bidang berkaitan kenderaan elektrik (EV) dan kecerdasan buatan (AI), yang akan diletakkan di bawah seliaan Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, penubuhan institusi itu tidak akan melibatkan sebarang kos, sebaliknya menggunakan infrastruktur sedia ada.

"Apa yang telah kami persetujui ialah untuk sebuah institusi TVET Malaysia dan China diwujudkan, sebagaimana yang telah kita wujudkan dengan Jerman dan beberapa negara yang lain.

"Mereka telah memberikan peluang untuk pelajar-pelajar TVET dalam bidang EV, dalam bidang AI dalam bidang komunikasi, telefon pintar dan juga dalam bidang solar serta teknologi yang lain untuk ditawarkan kepada pelajar-pelajar Malaysia,"katanya.

Datuk Seri Zahid ditemui selepas menerima kunjungan hormat Naib Presiden China, Han Zheng di Kompleks Sri Satria, Putrajaya.

Kunjungan hormat itu sebahagian daripada jadual lawatan kerja Zheng ke Malaysia selama empat hari bermula semalam, sempena ulang tahun ke-10 Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-China pada tahun ini.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau berkata, dari segi modul TVET pula, ia akan disediakan menerusi syarikat perindustrian China di negara ini bagi menjamin pelajar yang mengikuti kursus di syarikat berkenaan dapat diserap sebagai pekerja sejurus tamat latihan.

Perkara itu katanya akan dibawa ke mesyuarat Jemaah Menteri untuk mendapatkan kelulusan bagi pihak Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Sementara itu, Zahid memaklumkan Malaysia perlu mempelajari serta mencontohi keupayaan China membangunkan kawasan luar bandar di republik itu.

Katanya, selain membangunkan pertanian, aspek lain yang boleh difokuskan termasuk menggalakkan pemindahan proses pembangunan bandar ke kawasan luar bandar.

Dalam perkembangan berkaitan, Malaysia turut membuka tawaran kepada para pelabur dari China untuk membuka kilang di negara ini, khususnya dalam sektor halal.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE