KUALA LUMPUR, 7 Jun - Malaysia dan China bersedia mengukuhkan lagi hubungan dua hala dalam penguatkuasaan undang-undang dan keselamatan dua negara.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, kata sepakat itu dicapai dalam Mesyuarat Kumpulan Kerja Bersama (JWG) ke-5 mengenai Pembanterasan Jenayah Rentas Sempadan bersama Menteri Keselamatan Awam Wang Xiaohong di Beijing, China semalam.
"Perjanjian ini merupakan dokumen induk yang menyenaraikan lebih 15 bidang kerjasama kedua-dua negara seperti seperti pencegahan aktiviti keganasan dan ekstremisme, perjudian haram, jenayah siber, penyeludupan manusia dan bahan terlarang serta jenayah ke atas alam sekitar," katanya menerusi kenyataan hari ini.
Tambah beliau, JWG ke-5 merupakan mekanisme perbincangan di bawah Perjanjian Bagi Kerjasama Membanteras Jenayah Rentas Sempadan Antara Malaysia dan China yang ditandatangani pada 2012.
Katanya, kedua-dua negara turut menyatakan tiga tonggak utama ASEAN untuk menerokai dan menerajui kerjasama ASEAN, China dan Gulf Cooperation Council (GCC) dalam bidang keselamatan, ekonomi dan sosial.
"Malaysia dan China juga menyatakan persefahaman untuk mendalami secara saintifik cadangan Kerangka Keselamatan Nasional yang memanfaatkan negara serantau dan global.
"Bersepakat untuk menyegerakan beberapa dokumen perjanjian dan kerjasama baharu antara kedua-kedua negara seperti dalam hal imigresen dan ekstradisi," katanya.
Ujar beliau, Malaysia dan China juga bersetuju berkongsi maklumat, pembangunan kapasiti dan pertukaran penempatan pegawai.
Saifuddin mengetuai delegasi Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam lawatan kerja ke Republik China bermula 5 hingga 10 Jun ini.