fb fb fb fb fb

PRK Sg Bakap: Calon Kerajaan Perpaduan diumum minggu depan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim

SEPANG, 7 Jun- Calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap yang akan mewakili Kerajaan Perpaduan bakal diumumkan minggu hadapan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) berkata, tarikh pengumuman calon akan diputuskan oleh Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli.

“Kita telah ada senarai, kita ambil calon yang layak, ramai yang layak dah insya-Allah, kita umum minggu depan.

“Tarikh, saya minta Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli umum tarikh yang sesuai minggu depan tetapi prosesnya (pemilihan calon) kita bincang, pimpinan parti sudah, kepimpinan PH dan BN, dan kita maklum dalam (mesyuarat) Kerajaan Perpaduan,” kata Anwar.

Beliau bercakap kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat bersama kira-kira 5,000 jemaah di Masjid Sultan Abdul Samad di sini.

Tambah beliau ada beberapa nama calon yang berkelayakan namun semuanya akan dimuktamadkan minggu hadapan.

Semalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK DUN Sungai Bakap, Pulau Pinang pada 6 Julai ini, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 22 Jun (Sabtu) dan 2 Julai (Selasa).

Kerusi DUN Sungai Bakap sebelum ini disandang oleh Nor Zamri yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal berjaya menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Nurhidayah Che Rose dengan majoriti 1,563 undi.

Dalam pada itu, Anwar menyertai lebih 2,000 jemaah menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Abdul Samad, Sepang, Selangor.

Beliau lengkap berbaju melayu bewarna biru muda itu tiba sekitar pukul 1.20 petang disambut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar.

Usai solat Jumaat, Perdana Menteri sempat beramah mesra dengan pengurusan masjid dan kariah serta orang ramai, sebelum beredar.

Kunjungan ke masjid terpilih di seluruh negara menjadi antara rutin Perdana Menteri pada Jumaat sejak menerajui kerajaan pada November 2022.

Selain menunaikan solat Jumaat, kesempatan mengunjungi masjid terpilih digunakan Perdana Menteri untuk mendengar sendiri aduan berkaitan masalah setempat yang disampaikan sendiri rakyat. 

Terdahulu, Perdana Menteri turut menikmati makan tengah hari sambil beramah mesra dengan penduduk setempat di restoran Ummi Aishah, Kota Warisan, di sini.

Ketibaan beliau kira-kira pukul 12.40 tengah hari di premis makanan itu disambut pemilik gerai tersebut.

Turut menyambut ketibaan Perdana Menteri adalah penduduk setempat pelbagai peringkat umur yang setia menunggu kehadiran beliau sejak pukul 11.30 pagi tadi.

TETITIA YUSOFF