fb fb fb fb fb

Malaysia mampu tingkat kedudukan ASEAN sebagai Pengerusi 2025

Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA, 8 Oktober- Malaysia berpotensi memainkan peranan penting dalam meningkatkan kedudukan ASEAN ke tahap lebih tinggi terutama semasa negara menjadi Pengerusi ASEAN tahun hadapan.

Menteri Komunikasi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil menjelaskan bahawa hasrat tersebut akan dilaksanakan dengan penuh komitmen.

"Kepengerusian ASEAN ini adalah satu perkara yang cukup dinantikan. Malaysia akan memainkan peranan untuk memastikan ASEAN berada pada kedudukan yang lebih baik. Insya-Allah, kita harap dan menegaskan beberapa prinsip yang dipegang oleh ASEAN," katanya.

Fahmi juga memaklumkan bahawa Malaysia akan menerima kepengerusian ASEAN secara rasmi pada Jumaat ini.

Dalam perkembangan lain, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Johor akan bekerjasama untuk menyelaraskan sebarang tindakan berikutan pertukaran cuti hujung minggu di Johor kepada Sabtu dan Ahad bermula 1 Januari tahun depan.

Beliau menyatakan penyelarasan itu perlu dilaksanakan bagi mengelakkan sebarang isu yang boleh mengganggu perkhidmatan kepada rakya khususnya melibatkan agensi pusat.

"Semestinya, daripada segi penyelarasan di peringkat pusat dan juga di peringkat negeri, ia akan diuruskan supaya tidak berlaku apa-apa isu dalam memberikan perkhidmatan terutamanya oleh agensi-agensi Persekutuan," katanya pada sidang media mingguan pascamesyuarat Kabinet di sini hari ini.

SITI AISHAH MD ISA