fb fb fb fb fb

Malaysia bakal kemuka hujahan lisan di ICJ pada 22 Februari ini

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hasan

REMBAU, 27 Januari- Malaysia dijadual akan mengemukakan hujahan lisan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda berhubung kekejaman Israel terhadap Palestin pada 22 Februari nanti.

Menurut Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan sebagai negara yang menyokong kes dibawa Afrika Selatan terhadap Israel di bawah Konvensyen Genosid 1948, beliau sendiri akan membawa pendirian Malaysia mengenai perkara itu ke ICJ.

"Malaysia amat mengalu-alukan dan gembira dengan keputusan yang telah dibuat ICJ semalam yang turut menetapkan enam langkah sementara terhadap kes yang dibawa oleh Afrika Selatan terhadap Israel sementara menunggu perbicaraan penuh.

“Langkah-langkah awal ini merupakan satu kemenangan bagi negara-negara yang mahu supaya kekejaman pembunuhan beramai-ramai oleh pihak rejim Zionis di Gaza tersebut dihentikan serta-merta.

"Di ICJ itu nanti, kita akan bawa suara Malaysia kerana kita merupakan negara pertama yang menyokong Afrika Selatan yang bawa kes ini di ICJ,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri menghadiri Kenduri Rakyat DUN Kota di sini hari ini.

Mohamad yang juga Ahli Parlimen Rembau, berharap menerusi langkah sementara itu, Israel selaku negara yang menandatangani Konvensyen Genosid 1948 akan akur dengan keputusan ICJ tersebut.

Beliau juga berharap menerusi langkah sementara itu, bantuan kemanusiaan termasuk perubatan dan makanan dapat memasuki Gaza selepas ini sekali gus menamatkan derita penduduk Palestin.

 

ZEHRA BINTI ZAMBRI