KUALA LUMPUR, 12 Disember- Malaysia Autoshow 2024 (MAS 2024) menyasarkan lebih RM1.6 bilion potensi jualan dan 250,000 pengunjung untuk acaranya tahun depan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, acara kali ini bukan sahaja mempamerkan jenama hebat yang membentuk ekosistem automotif, ia juga mempamerkan bakat perusahaan kecil dan sederhana di peringkat dunia.
Beliau berkata MAS 2024 dianjurkan secara strategik untuk menekankan kepentingan amalan mampan dalam sektor automotif. Ini termasuk menampilkan kenderaan mesra alam dan cekap tenaga, bagi menggalakkan masa depan hijau untuk industri.
"Bertujuan untuk mengubah kita menjadi kuasa industri. Pendekatan ini berpusat pada teknologi tinggi, bakat, menekankan pelaburan strategik dalam pembangunan rantaian bekalan tempatan dan mengejar peluang perniagaan baharu secara inovatif", katanya semasa berucap di Majlis Pra-Pelancaran The Malaysia Autoshow 2024 (MAS 2024).
Acara anjuran Institut Automotif, Robotik dan IoT Malaysia (MARii) ini akan berlangsung dari 21 hingga 26 Mei 2024, di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dan IOI City Mall, Putrajaya.
Acara ini mempamerkan lebih 30 jenama kereta dan 50 jenama dan aksesori motosikal daripada 300 pameran, termasuk kenderaan, aksesori dan teknologi.