fb fb fb fb fb

Malaysia, Jepun perkukuh kerjasama maritim dan teknologi maju

Datuk Seri Mohamad Hasan, mengadakan pertemuan dua hala bersama Menteri Luar Jepun, Takeshi Iwaya, di luar sesi Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM Ke-58) / FOTO IG mohamadhjhasan

KUALA LUMPUR, 11 Julai – Malaysia berhasrat untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan Jepun, khususnya dalam aspek keselamatan maritim serta meneroka peluang kerjasama baharu dalam bidang teknologi maju, ekonomi digital dan penyahkarbonan.

Perkara itu dinyatakan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, selepas mengadakan pertemuan dua hala bersama Menteri Luar Jepun, Takeshi Iwaya, di luar sesi Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN ke-58 (AMM Ke-58) yang sedang berlangsung di ibu negara.

“Jepun merupakan sahabat yang sentiasa berada di sisi Malaysia dalam apa jua situasi, dan telah menyumbang secara signifikan kepada kemajuan negara sehingga hari ini,” ujar Mohamad Hasan.

Pertemuan selama 15 minit itu turut menyentuh soal kerjasama strategik antara kedua-dua negara, terutama dalam memperkukuh sinergi rantau Asia Timur dan Asia Tenggara.

Sementara itu, dalam kenyataan rasmi dikeluarkan Kementerian Luar Jepun, Takeshi Iwaya menyatakan komitmen negaranya untuk terus memperluas usahasama teknologi dengan Malaysia.

“Jepun bersedia memajukan kerjasama dalam bidang berteknologi tinggi termasuk semikonduktor dan unsur nadir bumi,” katanya.

Pertemuan itu mencerminkan hubungan erat Malaysia-Jepun yang terus berkembang, khususnya dalam menghadapi cabaran geopolitik serantau dan mengukuhkan kestabilan ekonomi serta keselamatan maritim bersama.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE