KUALA LUMPUR, 11 Julai - Tidak semua kemalangan melibatkan bas berpunca daripada agensi pelancongan berlesen. Presiden Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Nigel Wong berkata, tindakan menyalahkan agensi pelancongan dalam setiap insiden adalah tidak adil, dan menjejaskan imej industri pelancongan.
“Banyak kemalangan sebenarnya melibatkan bas kilang, bas sekolah atau pengendali haram, tetapi sering disalah anggap sebagai bas pelancongan,” jelasnya dalam satu sidang media hari ini.
Beliau juga menyifatkan arahan supaya agensi melaporkan kemalangan dalam tempoh 24 jam kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) sebagai tidak praktikal, kerana siasatan lengkap perlu dijalankan terlebih dahulu.
Dalam masa sama, MATTA menggesa penguatkuasaan lebih tegas terhadap pengendali haram yang menjejaskan reputasi pengusaha sah.
Sementara itu, Naib Presiden Pengangkutan Darat MATTA, Subramanium Kandasamy menyeru agar kerajaan tidak melaksanakan peraturan baharu secara tergesa-gesa tanpa libat urus dengan pemain industri.
Menurut beliau, tindakan menggantung pemandu serta-merta selepas kemalangan kecil boleh menjejaskan operasi syarikat dan kebajikan pemandu.
Beliau menyokong kepentingan keselamatan penumpang, namun menekankan bahawa sebarang dasar perlu disertakan dengan tempoh pelaksanaan yang wajar.