KUALA LUMPUR, 18 Ogos – Dataran Merdeka dijangka bertukar menjadi lautan putih pada 24 Ogos ini apabila lebih 100,000 rakyat berhimpun pada Malam Himpunan & Selawat – MalaysiaKu Bersama Gaza, acara kemuncak Karnival Sumud Nusantara 2025.
Program anjuran bersama Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Cinta Gaza Malaysia (CGM) itu mendapat naungan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, selain disokong empat menteri penaung bersama termasuk Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Naim Mokhtar; Menteri Wilayah Persekutuan dan Menteri Besar Selangor.
Peserta yang hadir digalakkan berpakaian serba putih bertema Gaza sebagai simbol kesatuan hati dan tekad rakyat Malaysia terhadap perjuangan Palestin.
Acara akan bermula dengan solat maghrib dan solat hajat perdana dipimpin Sheikh Abdul Karim Al-Makki, diikuti tausiah, syarahan khas Perdana Menteri, pembacaan Deklarasi Sumud Nusantara untuk Gaza, pelepasan delegasi Flotilla Sumud Nusantara dan bacaan Qunut Nazilah. Malam itu turut dimeriahkan dengan persembahan qasidah Majelis AzZahir pimpinan Habib Ali Zainal Abidin Assegaf.
Karnival tiga hari bermula pada 22 Ogos itu turut menawarkan pelbagai pengisian termasuk VR Gaza Time Tunnel, pertunjukan belon panas, Havoc Food Festival, pameran agensi, pelancaran Ensiklopedia Gaza 101, Kids World Hall serta tayangan filem perjuangan Gaza.
Lebih 1,000 kenderaan dari seluruh Malaysia dan lapan negara akan menyertai konvoi darat menuju ke Dataran Merdeka dengan kibaran bendera Palestin, melengkapkan panorama solidariti rakyat Nusantara.
Ketua Pegawai Eksekutif MAPIM, Datuk Dr. Sani Araby menegaskan himpunan itu bakal menjadi simbol kesatuan rakyat Malaysia bersama Gaza.
“Bersempena Bulan Kemerdekaan, kita mahu rakyat Malaysia merasai penderitaan Palestin dan bersama membantu membebaskan Gaza daripada cengkaman regim Zionis,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CGM, Nadir Al-Nuri berkata, suara solidariti rakyat Malaysia akan diterjemahkan melalui penyertaan aktivis dalam Global Sumud Flotilla yang disertai 39 negara ke Gaza.
Orang ramai dijemput hadir bersama keluarga, membawa sejadah, payung serta menggunakan pengangkutan awam bagi memudahkan kelancaran perhimpunan.