fb fb fb fb fb

PM arah teliti kesan AI terhadap produktiviti kerajaan

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (berdiri) menyampaikan ucapan semasa hadir pada Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri Bagi Bulan Ogos di Puspanitapuri, hari ini/Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 15 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengarahkan Ketua Setiausaha Negara serta Ketua-Ketua Jabatan di peringkat kementerian meneliti kesan penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) dalam pentadbiran kerajaan.

Jelas Perdana Menteri, langkah itu penting bagi mengesan risiko berlakunya paradoks produktiviti dalam pelaksanaan transformasi digital negara.

“Kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk penubuhan Institut AI dan Kementerian Digital, namun kita perlu berhati-hati kerana pelaburan besar dalam teknologi tidak semestinya menjamin peningkatan produktiviti.

“Saya hanya minta dalam tempoh dua minggu hingga sebulan, perkara ini diteliti dan dikemukakan jawapan awal bagi menangani permasalahan tersebut," katanya.

Tambah Datuk Seri Anwar, kerajaan telah membelanjakan peruntukan yang tinggi bagi melaksanakan agenda transformasi digital dan AI sebagai tunggak perubahan dalam tempoh lima tahun akan datang.

Namun, tegas beliau, pelaksanaan transformasi itu mesti dilakukan secara teliti berlandaskan tadbir urus data yang baik, integrasi sistem yang mantap serta pemantauan berterusan supaya benar-benar berkesan.

Menurut Perdana Menteri, cabaran ini jika gagal ditangani, negara berisiko berdepan jurang yang semakin melebar antara jangkaan tinggi terhadap teknologi AI dengan realiti pencapaian yang hambar.

“Tujuan kita luncurkan program Transformasi Digital dan AI untuk peningkatan hasil dan produktiviti, memang ada berlaku tetapi secara menyeluruh ia tidak berlaku begitu.

“Ini dikatakan AI produktiviti paradox, dimana jaminan AI untuk meningkatkan produktiviti dan hasil itu tidak semestinya berlaku.

"Jangan ulangi kesilapan yang pernah berlaku atau dialami banyak syarikat gergasi besar yang lain,” tegasnya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini hari ini.

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI