KUALA LUMPUR, 18 Ogos - Rang Undang-Undang (RUU) Perubahan Iklim Negara dijangka dibentangkan di Dewan Rakyat pada Oktober ini, selepas pembentangan Belanjawan 2026.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, draf RUU itu kini sedang diteliti pihak Jabatan Peguam Negara dan akan dimuktamadkan sebelum dibawa ke Kabinet.
"RUU Perubahan Iklim ini sedang diteliti oleh pasukan AG (Peguam Negara) kita dan insya-Allah apabila ia dimuktamadkan, kita akan bentangkan di dewan (Dewan Rakyat) ini.
"Mulanya cadangan jika tidak ada sebarang perubahan besar, RUU akan dibentangkan sebaik selepas pembentangan bajet pada tahun ini, kemudian nanti kita akan debat," katanya.
Beliau yang menggalas tugas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad mengenai kemajuan RUU Perubahan Iklim Negara di Dewan Rakyat di sini.
Bagaimanapun, Datuk Seri Johari berkata, tiada aktiviti perlombongan dijalankan di kawasan hutan simpan kekal ketika ini.