KUALA LUMPUR, 8 Mei- Mendepani cabaran Islamofobia menjadi perbincangan utama Majlis Ulama Asia 2024.
Menurut Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Datuk Hakimah Mohd Yusoff, majlis itu akan memfokuskan peranan agama dalam mempromosikan keamanan ke arah menangani dan menyelesaikan semua bentuk konflik yang membawa kepada perpecahan.
"Majlis berkenaan mengumpulkan ulama-ulama dari negara sekitar Asia.
"Ia membicarakan topik berkaitan keamanan sejagat dan kehidupan bersama dan bagaimana langkah-langkah untuk kita menangani isu-isu berkaitan 'extremism', berkaitan dengan pelampau dalam amalan beragama dan sebagainya.
"Dan bagaimana toleransi dan kesederhanaan itu boleh membantu mengekalkan keamanan yang kita hasratkan," katanya kepada pemberita pada Majlis Ulama Asia 2024 di sini.
Menurut Hakimah, tema kesatuan dipilih bagi mengekalkan kerukunan dan perpaduan hidup bermasyarakat.
Selain itu, majlis berkenaan juga bertujuan merapatkan hubungan kemanusiaan, mengelakkan jurang kefahaman, memupuk keharmonian, membina permuafakatan, mengukuhkan persahabatan serta kerjasama antara negara di rantau asia.
Menurut Hakimah, umat Islam perlu mengamalkan nilai kesederhanaan dalam berhadapan dengan pelbagai fahaman dan mazhab serta tidak menjadikan ia sebagai ketakutan, kebencian atau konflik.