
JOHOR BAHRU, 5 April – Kerajaan akan menubuhkan segera Majlis Ekonomi Jingga dalam usaha merancakkan lagi industri kreatif yang dilihat berpotensi membantu pertumbuhan ekonomi ketika negara turut berdepan krisis tenaga global.
- Majlis Ekonomi Jingga bakal dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
- Kementerian Komunikasi akan menjadi antara sekretariat dan berperanan membentuk majlis tersebut.
- Sektor ekonomi jingga menyumbang 6.8 peratus KDNK 2024 dan boleh diperkasa melalui NADI dengan internet berkelajuan tinggi.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Majlis Ekonomi Jingga bakal dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Datuk Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata, Kementerian Komunikasi merupakan antara sekretariat dan berperanan dalam membentuk majlis berkenaan.
“Kita jangka pada ketika krisis tenaga global sedang berlaku, sebenarnya industri kreatif merupakan satu industri yang kita tidak kata malar atau ‘evergreen’ tetapi berpotensi untuk membantu pertumbuhan ekonomi dalam negara.
“Ada beberapa jawatankuasa yang akan dibentuk dan arahan yang telah diberikan kepada kementerian (Komunikasi) adalah untuk membentuk majlis ini pada kadar segera,” katanya kepada media selepas menghadiri Majlis Pelantikan Pengerusi Panel Penasihat Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Negeri Johor, di sini hari ini.
Sektor ekonomi jingga, merangkumi industri kreatif seperti filem, muzik dan animasi, menyumbang 6.8 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2024.
Beliau berkata industri itu juga dilihat mampu diperkasakan menerusi NADI yang menyediakan prasarana dan kemudahan dengan internet berkelajuan tinggi.