fb fb fb fb fb

Majikan wajib tunggu ketibaan pekerja asing di KLIA

Foto Bernama

PUTRAJAYA, 28 September- Majikan adalah diwajibkan menunggu ketibaan pekerja-pekerja asing baharu mereka di KLIA. Mereka bertanggung jawab menguruskan dokumentasi pekerja-pekerja berkenaan dan membuat pengesahan bahawa mereka adalah majikan kepada pekerja-pekerja tersebut.

Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud, peraturan JIM memberi tempoh selama enam jam kepada majikan untuk datang ke KLIA dan menerima pekerja-pekerja asing mereka. Bagaimanapun dalam keadaan tertentu, tempoh itu akan dilanjutkan.


(Ketua Pengarah Imigresen Malaysia Jabatan Imigresen Malaysia (JIM),
Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud / Foto Bernama)

Pekerja-pekerja asing berkenaan tidak akan dilepaskan keluar sehingga majikan sebenar seperti dalam surat permohonan tiba di KLIA untuk menerima mereka.

"Peraturan di atas bertujuan untuk memastikan semua pekerja asing mempunyai majikan yang sah. Kegagalan majikan mematuhi peraturan ini akan menyebabkan pekerja asing berkenaan diberikan notis ‘Not to Land’ (NTL) dan akan diarah pulang dengan penerbangan berikutnya ke negara asal," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

JIM memberi maklum balas kepada hantaran di Facebook oleh seorang blogger yang membuat dakwaan tidak berasas berkaitan pengurusan masuk pekerja-pekerja asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Sejak pembukaan semula sempadan negara JIM telah menguruskan kemasukan pekerja asing baharu berjumlah 98,079 mulai 1 April sehingga 26 September 2022.

"Jabatan ini berasa kesal dengan tuduhan yang tidak berasas oleh blogger berkenaan yang boleh menimbulkan salah faham dalam kalangan Keluarga Malaysia", tulis kenyataan itu.

JIM sedang mengkaji untuk mengambil tindakan undang-undang.

Media Baharu