(Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin ketika di sidang media di CAC Klinik Kesihatan Simpang Renggam / KKM)
SIMPANG RENGGAM, 27 Februari - Majikan yang enggan menerima pakai salinan 'tangkap layar' sijil digital Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) atau surat pelepasan kuarantin (RO) dalam aplikasi MySejahtera boleh dikenakan tindakan.
Tindakan majikan tersebut menyebabkan pekerja terpaksa datang ke Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) bagi mendapatkan notis secara bertulis.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, salinan sijil digital menerusi aplikasi tersebut sah dan sudah mencukupi.
Jelasnya, laporan CAC Kebangsaan mendapati 30 hingga 50 peratus kes individu yang hadir ke CAC adalah bukan untuk penilaian bagi kesihatan yang merosot semasa menjalani pemantauan di rumah.
"Sebaliknya 90 peratus daripadanya adalah untuk mendapatkan notis bertulis discaj daripada isolasi di rumah.
" Ini menyebabkan penambahan beban tugas kepada kakitangan CAC yang berperanan membuat penilaian kesihatan", katanya pada sidang media di CAC Klinik Kesihatan Simpang Renggam di sini, hari ini.