KOTA BHARU, 27 Februari- Situasi banjir di Kelantan semakin memburuk dengan pertambahan empat lagi Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka, sekali gus menyaksikan setakat ini sebanyak 64 PPS aktif membabitkan tujuh daerah di negeri itu.
Berbanding petang tadi, jumlah penduduk terjejas banjir yang dipindahkan setakat pukul 7 petang mencecah 6, 822 daripada 2,235 keluarga.
Menurut portal info banjir JKM, Machang dan Kota Bharu menjadi daerah terbaharu dilanda banjir apabila tiga PPS di buka di daerah Machang melibatkan 172 penduduk terjejas banjir dan satu PPS dibuka di daerah Kota Bharu melibatkan 23 penduduk terjejas banjir.
Dalam pada itu, 15 PPS dibuka di daerah Pasir Mas melibatkan 3,921 penduduk terjejas banjir menjadikan daerah itu antara daerah paling teruk terjejas setakat ini.
Di Kuala Krai dan Tanah merah masing-masing 15 PPS dibuka melibatkan seribu 157 penduduk terjejas banjir di Kuala krai dan 700 penduduk terjejas banjir di Tanah Merah.
Manakala di jeli, lapan PPS di buka melibatkan 634 penduduk terjejas banjir.
Sementara itu, banjir di Pasir Puteh pula semakin meningkat apabila enam PPS dibuka di daerah itu membabitkan 218 penduduk terjejas banjir.