fb fb fb fb fb

Majikan tidak boleh hentikan pekerja dalam tempoh cuti bersalin, sakit kehamilan

Foto Hiasan

KUALA LUMPUR, 22 November - Majikan diingatkan tidak mengambil kesempatan memberhentikan pekerja wanita yang mengambil cuti bersalin atau cuti sakit disebabkan kehamilan.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mustapha Sakmud berkata larangan itu termaktub di bawah Akta Kerja 1955 dan mana-mana majikan yang tidak mematuhi peraturan itu boleh dikenakan tindakan.

"Majikan yang didapati tidak mematuhi peruntukan tersebut telah dinasihatkan untuk membuat tindakan pembetulan dan sekiranya gagal kertas siasatan akan dibuka untuk tindakan pendakwaan atau kompaun dengan denda maksimum sehingga RM50,000 jika disabit kesalahan," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Jerlun, Dr Abd Ghani Ahmad berhubung tindakan terhadap majikan yang memberhentikan pekerja semasa cuti bersalin.

Mustapha turut mendedahkan 44 kes aduan pelanggaran peraturan cuti bersalin 98 hari oleh majikan direkodkan sehingga 31 Oktober lepas dengan 28 daripadanya adalah aduan berasas manakala baki 16 aduan tidak berasas.

Bagi tempoh sama, katanya Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi agensi di bawahnya telah melaksanakan 23,279 pemeriksaan berkanun di tempat kerja.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN