fb fb fb fb fb

MAIWP sasar bina aplikasi tutor al-Quran (AI), pelawa kolaborasi pakar teknologi

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 16 Disember- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) ingin membina aplikasi tutor al-Quran yang berasaskan teknologi kecerdasan buatan (AI) dan bersedia bekerjasama dengan individu mahupun syarikat yang mempunyai kepakaran dalam bidang tersebut untuk pembinaan aplikasi tersebut.

Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar berkata aplikasi itu bakal memudahkan masyarakat untuk memahami dan mempelajari al-Quran walau di mana jua, kerana kepesatan teknologi pada masa kini yang lebih dekat dengan masyarakat.

"Jadi, algoritma itu perlu melalui proses AI, untuk pembaca lebih memahami al-Quran, lebih menghayati kalam Allah. Selain itu, ini juga cabaran kepada ulama. Kita telah tukar banyak perkara kepada AI tetapi kita mungkin takut dan tidak berani untuk menukarkan al-Quran Karim kepada AI. Saya rasa kalau kita dapat buat, al-Quran ini lebih mudah untuk difahami."

"Seperti saya sebut tadi, bukan orang Islam sahaja, pakar-pakar bahasa, pakar ilmu dunia termasuk mereka yang bukan Islam. Ini adalah cabaran dan peluang kita, untuk menjadikan al-Quran, kitab yang dapat dilihat secara telus dengan ilmu AI ini," kata Dr. Mohd Daud kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Khatam Al Quran Jom Celik Al Quran di Menara MAIWP, ibu negara. 

Pada majlis yang sama, (MAIWP) dan Institut Pengajian Al Quran (IPaQ) telah menganjurkan Majlis Khatam Al Quran Perdana kali ke-3 bagi meraikan seramai 62 peserta yang telah menyempurnakan pengajian al-Quran. 

Tambah beliau, Majlis Khatam Al-Quran Jom Celik Al-Quran merupakan salah satu usaha MAIWP dalam memastikan umat Islam khususnya di Wilayah Persekutuan mampu membaca al-Quran, sekurang-kurangnya bacaan surah yang menjadi rukun dalam solat.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM