BALING, 16 Disember- Seorang penternak kambing di Kedah mengalami kerugian kira-kira RM8,000 selepas enam ekor kambing miliknya mati dibelit seekor ular sawa di Kampung Bechah Sawa, sini, awal pagi semalam.
Mohamad Syahid Zuhdi Azhar, 31, yang dihubungi RTM berkata, dia mendengar bunyi bising dari kandang kambing yang terletak berdekatan rumah dalam kejadian kira-kira pukul 1.00 pagi.
Dia yang pergi memeriksa keadaan itu terkejut sebaik melihat seekor ular sawa berada di dalam kandang dengan enam ekor kambing betina termasuk lima daripadanya sedang bunting telah bergelimpangan mati.
Mohamad Syahid berkata, ia merupakan kejadian kali pertama haiwan ternakannya mati dibelit ular sawa.
Bagaimanapun, dia pasrah dan reda atas kejadian yang menimpa serta menganggap ia sebagai ujian dari Allah SWT.
Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (Pertahanan Awam) Mohd Faizol Ab Aziz berkata, pihaknya mengambil masa kira-kira satu jam untuk menangkap dan mengeluarkan ular sawa sepanjang 5 meter dan seberat 70 kilogram dari dalam kandang kerana terlalu agresif.
Reptilian berkenaan kemudian dibawa balik ke pejabat Angkatan Pertahanan Awam (APM) Baling sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan selanjutnya.
APM menasihat orang awam supaya menjaga persekitaran rumah bagi mengelakkan kehadiran haiwan berbahaya.