fb fb fb fb fb

MAIWP peruntuk RM17.36 juta bantuan Aidilfitri untuk asnaf, institusi pendidikan

Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Syed Kamarulzaman Syed Kabeer/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 2 April- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan mengumumkan bantuan Aidilfitri RM500 untuk penerima bantuan sara hidup di semua Wilayah Persekutuan dan RM 300 untuk institusi pendidikan melibatkan peruntukan berjumlah RM17.36 juta, disalurkan mulai hari ini.

Menurut Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan Syed Kamarulzaman Syed Kabeer, MAIWP bersama agensi dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sentiasa komited membantu komuniti asnaf secara menyeluruh tanpa melibatkan bantuan secara terus dari MAIWP sahaja.

"Tanpa ada komitmen para pembayar zakat, sudah tentu program seperti ini tidak dapat dilaksanakan secara optimum, maksimum dan menyeluruh.

"Semoga segala usaha ini akan dibalas dengan ganjaran pahala yang besar di sisi Allah SWT," katanya pada program Rahmah Ramadan MAIWP: Majlis Iftar Ramadan Bersama Asnaf di Masjid Wilayah Persekutuan di sini hari ini.

Tambahnya, MAIWP telah membelanjakan lebih RM38 juta untuk program Rahmah Ramadan tahun ini.

Turut disampaikan bantuan untuk pelbagai Pertubuhan Kebajikan Islam dan sumbangan duit raya untuk anak-anak asnaf.

Pengumuman tersebut dilakukan dalam  Majlis Iftar bersama lebih 400 asnaf pelbagai kategori dan insan istimewa di Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

ROSLINA BINTI DIN