fb fb fb fb fb

MAINPP sedia pelbagai insentif untuk golongan mualaf

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid

KEPALA BATAS, 30 Mac- Pelbagai insentif disediakan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) khusus bagi meringankan beban golongan mualaf di negeri tersebut.

Insentif itu termasuk saguhati berkhatan, perkahwinan, saguhati memeluk agama Islam, bantuan kebajikan dan peribadi melibatkan peruntukan hampir RM5 juta.

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Dr Mohamad Abdul Hamid berkata golongan berkenaan juga akan dibimbing dan disantuni terutama dalam tempoh lima tahun bergelar mualaf.

Menurutnya, mereka juga sentiasa dialukan untuk hadir ke Kompleks Darul Hidayah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam (JAKIM) sekiranya terdapat sebarang permasalahan atau kekeliruan.

"Umpamanya, insentif saguhati untuk berkhatan (RM500), perkahwinan (RM2,000), saguhati memeluk agama Islam (RM2,000)."

"Selain daripada itu, termasuk bantuan kebajikan kepada keluarga sebanyak RM1,500 dan juga bantuan peribadi," kata Datuk Dr. Mohamad dalam Majlis Iftar Perdana dan Penyampaian Saguhati Hari Raya di Kompleks Darul Hidayah, Permatang Tok Gelam.

Dalam majlis itu, 200 mualaf sekitar negeri Pulau Pinang dirai dan menerima sumbangan bernilai RM500 setiap seorang sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM