fb fb fb fb fb

Beri perhatian khusus pembangunan perkhidmatan kesihatan, sekolah daif

Foto Facebook Datuk Seri Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 30 Mac- Semua kementerian termasuk agensi berkaitan digesa agar memberikan perhatian khusus dan segera bagi memastikan kelancaran perancangan serta pelaksanaan projek di Sarawak secara berkesan kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau dalam satu hantaran di Facebook berkata, projek terbabit, khususnya pembangunan perkhidmatan kesihatan dan sekolah daif.

Ia merupakan inisiatif berimpak tinggi kepada rakyat terutama warga Sarawak di luar bandar yang bakal mendapat manfaat dalam jangka panjang.

Perkara itu dibangkitkan ketika Perdana Menteri mempengerusikan Taklimat Pembangunan Sarawak dalam lawatan singkat beliau ke Bumi Kenyalang hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, perbincangan itu turut menyentuh pelbagai isu, perancangan dan keperluan bagi pembangunan perkhidmatan kesihatan serta sekolah daif di Sarawak.

"Antaranya mengenai kekurangan nisbah perkhidmatan kepakaran perubatan kepada penduduk berbanding purata nasional, kekurangan institusi perubatan khas bagi rawatan kanser, wanita dan kanak-kanak, rehabilitasi, perubatan respiratori, pusat darah dan kepakaran pergigian.

“Malah lima daerah di Sarawak masih tidak mempunyai hospital walaupun penduduk melebihi 30,000 orang serta terdapat pecahan yang signifikan bilangan sekolah yang tiada peruntukan pembangunan," katanya sambil menambah beliau juga bersetuju agar Kementerian Kesihatan mempercepat proses pembinaan Pusat Kanser Sarawak.

Dalam lawatan ke Sarawak itu, Perdana Menteri sempat meluangkan masa meninjau Bazar Ramadan di Taman Desa Ilmu, Kota Samarahan.

Beliau beramah mesra dengan peniaga dan pengunjung bazar selama kira-kira 20 minit.

Anwar, yang tiba di bazar Ramadan itu pada pukul 5.15 petang.

Selepas meninjau bazar Ramadan itu, Anwar menghadiri Majlis Berbuka Puasa MADANI Sarawak di Masjid Al-Muttaqin, Kota Samarahan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI