JOHOR BAHRU, 2 Oktober - Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) mengarahkan semua masjid dan surau di seluruh Johor mengadakan solat hajat serta doa keselamatan buat aktivis kemanusiaan dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF).
Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid menerusi hantaran Facebook memaklumkan, perkara itu dicapai susulan keputusan Mesyuarat Penuh MAINJ Kali Ke-287 yang meluahkan rasa dukacita dan kekesalan terhadap tindakan biadap rejim Zionis Israel yang menyekat pelayaran konvoi di perairan antarabangsa, selain menahan aktivis kemanusiaan termasuk rakyat Malaysia.
"MAINJ turut menyokong usaha diplomatik Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim agar rakyat Malaysia yang kini ditahan pihak rejim Zionis Israel segera dibebaskan.
"MAINJ mendoakan agar semua usaha bagi penghantaran bantuan kemanusiaan kepada penduduk Palestin dipermudahkan," menurut hantaran itu.
Dalam pada itu, Kerajaan Johor terus menzahirkan keprihatinan terhadap penderitaan rakyat Palestin dengan kejayaan mengumpul RM2.53 juta melalui Tabung Kasih Johor-Palestin untuk tujuan penghantaran bantuan kemanusiaan yang disempurnakan Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail.