KUALA TERENGGANU, 23 Disember- Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu MAIDAM menyasarkan kutipan zakat sebanyak RM310 juta bagi tahun 2025.
Sasaran itu diyakini mampu dicapai berikutan tahap kesedaran membayar zakat di Terengganu semakin meningkat sejak akhir-akhir ini.
Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, bagi tahun ini sahaja sehingga semalam, pihak MAIDAM berjaya mengutip sejumlah RM231.6 juta.
Beliau turut yakin matlamat untuk mencapai sasaran sebanyak RM285 juta tercapai dalam tempoh seminggu ini.
Menurutnya, 60 peratus kutipan zakat diperolehi itu adalah dari kategori zakat pendapatan diikuti zakat perniagaan.
" Jadi kita lihat tahun ini, insya-Allah meningkat. Peningkatan dalam RM30 juta, jadi saya rasa pencapaian ini, akan berjaya lebih 10 peratus orang keluarkan zakat.
"Kebanyakannya zakat pendapatan dan saya sangat yakin zakat pendapatan dan zakat perniagaan. Kedua-dua sumber ini yang terbesar setakat ini," katanya.
Beliau berkata demikian selepas hadir menerima zakat sumbangan KPT Peladang Sendirian Berhad berjumlah lebih RM60,000 bertempat di Bazaar MAIDAM, Kuala Terengganu.