JOHOR BAHRU, 23 Disember- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor merekodkan 46 kes dengan jumlah kompaun sebanyak RM5,100 sepanjang pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP), tahun ini.
Exco Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor, Lee Ting Han berkata, ia melibatkan SHMMP semasa Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri serta Deepavali.
43 kes tidak mempamerkan tanda harga berwarna merah jambu, dua kes tanpa tanda harga serta satu kes melebihi harga kawalan.
"Peniaga lupa untuk meletakkan warna tag merah jambu sebab apabila kita laksanakan Skim Kawalan Harga kita akan ingatkan peniaga supaya ada satu tanda harga berbeza dalam warna merah jambu supaya pembeli atau warga tempatan dapat kenal pasti mana produk yang sedang dikawal harga," katanya.
Tindakan diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.
Beliau ditemui dalam sesi sidang media selepas melancarkan SHMMP Krismas 2024 Peringkat Negeri Johor di sebuah pasaraya di Iskandar Puteri, Johor Bahru, Johor.
Seramai 200 penguatkuasa dan 74 pegawai pemantau harga digerakkan, sepanjang pelaksanaan SHMMP kali ini.