fb fb fb fb fb

MAHB beri sepenuh komitmen kepada usaha menyelamat

KUALA LUMPUR, 7 Februari- Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) memberikan sepenuh komitmen untuk memudah cara semua penerbangan bagi menyelamat dan operasi kargo yang melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul Sabiha Gokcen (SAW) susulan gempa bumi yang melanda tenggara Turkiye.

Menurut Pengarah Urusan MAHB Datuk Iskandar Mizal Mahmood pihaknya bekerjasama dengan Kementerian Luar untuk memberikan beberapa bantuan tambahan.

Antara kemudahan yang disediakan ialah penginapan transit kepada 75 anggota Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) di hotel lapangan terbang itu, sebelum mereka digerakkan ke kawasan terjejas.

Melalui satu kenyataan media, beliau menjelaskan penerbangan penyelamatan pertama berlepas pada pukul 8.41 pagi waktu tempatan.

Bagaimanapun enam penerbangan sama sudah berlepas dari lapangan terbang berkenaan membawa 1,400 anggota penyelamat.

SAW adalah satu daripada dua lapangan terbang yang ditetapkan oleh kerajaan Turkiye sebagai hab penyelamat dan logistik.

Ketika ini Terminal Penerbangan Am di SAW digunakan sebagai pusat pengurusan krisis dengan menyediakan sokongan yang diperlukan termasuk makanan untuk pasukan penyelamat.

Menurut laporan Reuters, gempa bumi yang melanda selatan Turkiye berhampiran bandar Gaziantep telah meragut lebih 3,700 nyawa di Turkiye dan Syria.

Menurut Kementerian Luar, setakat ini tiada laporan mengenai rakyat Malaysia terjejas dengan kejadian tersebut.

Menterinya Datuk Seri Zambry Abdul Kadir memaklumkan semua 13 rakyat Malaysia yang berada di kawasan gempa dan sekitarnya berjaya dihubungi dan mereka kini berada dalam keadaan selamat.

(Operasi menyelamat mangsa di bawah runtuhan di bandar Jandaris/REUTERS)

Media Baharu