KUALA LUMPUR, 20 Julai- Kira-kira 40 mahasiswa terlibat dalam menjayakan 'Projek Regain Experience Asli’s Life' atau disebut sebagai Projek REAL; projek kemasyarakatan anjuran Jawatankuasa Kerja Perkembangan Kebajikan dan Kemasyarakatan, Kolej Kediaman Tuanku Kurshiah, Universiti Malaya (UM).
Menurut Pengetua Kolej Kediaman Tuanku Kurshiah, Prof. Madya Dr Roshidah Hassan, REAL diadakan sebagai salah satu usaha dalam menyelami budaya dan cara hidup masyarakat orang asli di Malaysia.
“Program ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada mahasiswa tentang kelompok orang asli yang merupakan masyarakat pribumi Malaysia dan mendekatkan diri mahasiswa dengan mereka.
"Program REAL memberi peluang kepada mahasiswa mengenali dengan lebih dekat adat dan budaya orang asli dan juga menyemai semangat kesukarelawanan dalam diri mahasiswa UM,” katanya.
Projek REAL dijalankan dalam dua fasa. Fasa pertama diadakan pada 4 dan 5 Mei 2024 di Kampung Orang Asli Ulu Chembong, Negeri Sembilan. Fasa kedua pula diadakan di Dewan Gemilang Kolej Kediaman Tuanku Kurshiah pada 17 Mei 2024.
Dalam fasa pertama, 40 orang mahasiswa dari Kolej Kediaman Tuanku Kurshiah telah berkunjung dan bermalam di Kampung Orang Asli Ulu Chembong, Negeri Sembilan selama dua hari satu malam.
Antara aktiviti diadakan termasuk sumbangan barangan makanan dari rumah ke rumah kepada lebih kurang 80 keluarga, melukis mural di dewan orang ramai Kampung Ulu Chembong, aktiviti bersama kanak-kanak orang asli Temuan, mempelajari seni menganyam perhiasan kepala ’dendan’ yang dibuat daripada daun kelapa dan mempelajari cara mencanting batik.
Mahasiswa turut dibawa mendaki bukit dan merentas hutan sambil mempelajari cara orang asli Temuan menyumpit binatang di dalam hutan.
Aktiviti yang dijalankan mendapat kerjasama sangat baik daripada Pengerusi Jabatan Kebajikan dan Keselamatan Orang Asli Ulu Chembong, Helmi Naim Ahmad.
Beliau yang juga merupakan penggiat budaya orang asli Temuan juga bertanggungjawab memperkenalkan budaya masyarakat orang asli Temuan kepada mahasiswa Projek REAL.
Helmi meluahkan rasa gembira kerana masyarakat luar terutamanya mahasiswa universiti sudi datang untuk mengenali budaya dan cara hidup masyarakat orang asli Temuan dengan lebih dekat.
Projek REAL yang dijalankan pada 4 dan 5 Mei 2024 telah memberi pengalaman yang menarik kepada para mahasiswa selain mewujudkan kesedaran tentang kepentingan kepelbagaian budaya dan memupuk persefahaman antara budaya masyarakat berbilang kaum dan etnik di Malaysia.
Bagi mahasiswa mereka dapat belajar mengenai agama dan kepercayaan berbeza serta pantang larang dan amalan yang dianuti dan diamalkan oleh orang asli Temuan.
Projek REAL juga dijalankan dengan objektif untuk melibatkan diri anak-anak orang asli dengan aktiviti yang dapat membantu meningkatkan pengetahuan mereka melalui pelaksanaan aktiviti 3M iaitu aktiviti membaca, menulis dan mengira.