SERDANG, 3 September 2022 - Penganjuran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro Malaysia (MAHA) edisi tahun 2022 merekodkan nilai jualan melangkau RM281 juta, melepasi sasaran ditetapkan iaitu RM250 juta.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata nilai jualan MAHA 2022 meliputi aktiviti perdagangan dan perniagaan termasuk jualan terus, jualan atas talian serta padanan perniagaan.
"Selain sambutan luar biasa, MAHA 2022 turut mencatatkan kehadiran melebihi 1.47 juta pengunjung iaitu 1.2 juta adalah pengunjung secara fizikal dan 270,000 pengunjung secara maya, melebihi sasaran awal iaitu 1.1 juta orang pengunjung.
"Bagi aktiviti padanan perniagaan bersama syarikat pemasar dari luar negara pula, sebanyak 160 syarikat tempatan telah terlibat sepanjang MAHA berlangsung," katanya ketika berucap pada majlis Malam Apresiasi MAHA2022 di Taman Expo Pertanian Malaysia (MAEPS), malam tadi.
(Malam Apresiasi MAHA2022 di Taman Expo Pertanian Malaysia (MAEPS)/FOTO Facebook Ronald Kiandee)
Katanya, negara China, Jepun, Australia, Jerman, Thailand, United Kingdom, Singapura dan Timur Tengah melibatkan potensi jualan berjumlah RM68.2 juta.
Tambahnya lagi, penganjuran MAHA 2022 menyaksikan pemeteraian 33 perjanjian Memorandum Persefahaman (MoU) membabitkan pengusaha antarabangsa dan tempatan dengan nilai pelaburan lebih RM5.64 bilion.
“Perjanjian kerjasama ini melibatkan pelbagai pihak yang terdiri daripada pengusaha antarabangsa dan pengusaha tempatan," ujarnya.
Manakala, potensi pembiayaan yang direkodkan Agrobank pula melibatkan 3, 322 permohonan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM511.8 juta.
Datuk Seri Ronald Kiandee berharap agar edisi MAHA 2024 akan datang dianjurkan sebagai sebuah pertanian mega dengan memperluaskan penyertaan pempamer-pempamer dan rakan-rakan strategik dari luar negara.
Kali terakhir pameran itu dianjurkan empat tahun lepas dan ia sepatutnya diadakan pada 2020 namun ditangguhkan berikutan pandemik COVID-19.