fb fb fb fb fb

Pereka fesyen perlu lebih sensitif dengan baju tradisional

(Syot layar rakaman video TikTok memaparkan beberapa koleksi seorang pereka fesyen
tempatan viral apabila rekaannya kelihatan diluar norma nilai setempat)

KUALA LUMPUR, 3 September - Persalinan tradisi merupakan khazanah penting yang amat berharga dan disanjung tinggi selain melambangkan jati diri setiap kaum di negara ini.

Yang Dipertua Gerak Mahalela Malaysia (GEMALAI), Faisalkamal Ariffin berkata apabila persalinan tradisi tidak dipelihara dan dijaga maka bangsa akan hilang budaya sekali gus melenyapkan identiti yang telah diwarisi sejak dahulu lagi.

“Setiap pakaian yang diwarisi dari nenek moyang terdahulu terdapat 1001 rahsia penceritaannya serta membawa kepada makna-makna tertentu dari segi rekaanya.

“Sebagai contoh, rekaan baju Melayu mempunyai makna pada setiap sifat baju tersebut, sekiranya diubah maka terhapus rahsia dan pengertiannya,” katanya kepada RTM.

Katanya lagi, pereka fesyen perlu menghormati identiti warisan busana tradisional tanpa merosakkan nilai busana Melayu itu sendiri.

Faisalkamal turut menyarankan supaya satu garis panduan diwujudkan kepada pereka fesyen tanpa mengira kaum yang ingin memperagakan busana mereka di pentas pertunjukan fesyen di peringkat tempatan atau antarabangsa.

“Demi memartabatkan seni, budaya dan warisan, perlu ada akta khusus untuk mempertahankan setiap persalinan tradisi supaya tidak dijadikan bahan yang boleh diubah dan tetap dipandang tinggi nilainya meskipun ditelan zaman,” ujarnya lagi.

Menurutnya, harapan seumpama itu sebagai menyahut pesanan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu lalu bahawa Keluarga Malaysia perlu mengekalkan jati diri dengan memastikan rakyat bebas daripada penjajahan minda dan budaya.

(Yang Dipertua GEMALAI Faisalkamal Ariffin (dua dari kiri) bersama ahli persatuan 
memakai busana bangsawan untuk majlis di istana pada zaman dahulu)

Sementara itu, Nur Afifi Mohamed Taib yang telah berkecimpung dalam industri fesyen lebih 20 tahun berkata tidak dinafikan fesyen mengikut peredaran zaman dan pereka fesyen perlu lebih sensitif dengan hasil karya mereka.

“Pereka perlu bijak apabila hendak mempersembahkan sesuatu rekaan berkaitan warisan dan apabila ditampilkan dalam konteks nilai yang berbeza, ini jelas menunjukkan sesuatu yang agak pelik daripada kebiasaan dan norma kita.

“Kita mempunyai hari-hari kebesaran dan perayaan mengikut kaum dan agama masing-masing, maka ketika itulah pereka mempunyai peluang untuk menonjolkan ciri-ciri budaya setempat yang ada di Malaysia.


“Sebagai contoh perayaan Hari Raya berkaitan dengan keagamaan, maka ia melibatkan ibadah yang dianuti orang Islam. Jadi pakaian yang direka hendaklah menepati konteks perayaan itu sendiri,” katanya ketika dihubungi RTM.

(Nur Afifi (kanan) pada Majlis Bangsawan Usahawan tahun 2019)

Nur Afifi yang juga merupakan pensyarah Pusat Pengajian Seni Persembahan, Universiti Teknologi Mara (UiTM) sering mengutamakan nilai dalam setiap karya yang dihasilkannya.

“Misalnya, pakaian tradisional menjadi perkara asas utama untuk pereka fesyen. Pada tahun 1990-an ada pertandingan fesyen seperti Piala Seri Endon, Anugerah Benang Emas, Anugerah Jarum Berlian semua pertandingan fesyen ini perlu menggunakan elemen Malaysia.

“Ada pakaian tradisi yang diangkat semula dan dipersembahkan dengan nafas baru, namun perlu menitikberatkan nilai-nilai setempat.

“Tidak salah untuk meniru sebab itu adalah sumber inspirasi utama, tiada yang original atau asli. Tetapi apabila hendak meniru atau mengambil inspirasi, rekaan perlu disaring sebaik-baiknya supaya menghasilkan rekaan yang baik dan dapat dikongsi bersama.

“Sebenarnya kalau kita hendak mengikut acuan barat memang tak sesuai sebab negara barat ada empat musim, manakala kita pula negara yang tidak bermusim selain musim hujan, musim cuti sekolah, musim perayaan. 

“Saya tidak pernah melihat pereka-pereka tempatan menggunakan peluang itu untuk berkarya dan menghasilkan sesuatu yang sangat unik bertepatan dengan norma kehidupan kita,” ujarnya lagi.

Pada minggu lalu, tular di media sosial satu rakaman video TikTok memaparkan beberapa koleksi seorang pereka fesyen tempatan yang mengambil inspirasi gaya hidup Peranakan.

Menerusi video berdurasi 47 saat itu dilihat beberapa model perempuan memperagakan baju kebaya yang direka hingga menampakkan perut dan pusat si pemakai pada pertunjukkan fesyen yang berprestij di ibu negara.

Rata-rata netizen mengkritik dan kecewa apabila baju tradisional tersebut diubah sekali gus merosakkan nilai baju kebaya Nyonya.

Laporan oleh Grace Aisyah Kedayan.

Media Baharu