SABAK BERNAM, 16 Januari- Sejumlah RM36.4 juta diperuntukkan kepada asnaf fakir dan miskin serta mualaf di Selangor bagi sesi persekolahan Februari depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor (LZS), Mohd Sabirin Mohd Sarbini berkata, agihan itu meliputi bantuan yuran dan kelengkapan peralatan persekolahan untuk setiap anak asnaf.
Menurutnya, bantuan yang diagihkan itu melibatkan 1,119 kanak-kanak pra persekolahan, 33,117 murid Sekolah Kebangsaan (SK) dan 7,790 lagi murid Sekolah Rendah Agama (SRA).
Penerima Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Menengah Agama pula seramai 36,292 pelajar.
"Ini merupakan antara inisiatif Lembaga Zakat Selangor bagi memastikan semua pelajar akan dapat meneruskan pembelajaran mereka tiada berlakunya keciciran daripada segi pendidikan di Selangor.
"Ini juga adalah antara inisiatif pendidikan yang tidak hanya sehingga presekolahan sahaja tetapi juga disambung ke tahap institut pengajian tinggi ataupun kemahiran setelah mereka habis di sekolah menengah," katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Simbolik Agihan Bantuan Pendidikan Tahun 2025 LZS di Sabak Bernam.
Beliau berkata, setiap penerima bantuan diwajibkan membeli sepasang pakaian seragam sekolah dan selebihnya bebas untuk membuat penebusan peralatan sekolah lain di mana-mana pasar raya atau outlet yang telah ditetapkan LZS.
Penebusan bagi bantuan kelengkapan peralatan persekolahan ini boleh dibuat bermula pada sabtu ini sehingga 17 April depan.