PELANGAI, 4 Oktober- Projek pembinaan Lingkaran Tengah Utama (LTU) dari Bentong ke Pelangai di Negeri Pahang sepanjang 35 kilometer kini hanya menunggu kelulusan daripada Kementerian Kewangan (MoF).
Projek berkenaan melibatkan peruntukan sebanyak RM987 juta akan dibahagikan kepada tiga fasa pembinaan.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, di peringkat kementeriannya, kesemua proses sudah selesai termasuk menyediakan reka bentuk jajaran laluan tersebut.
Sekiranya peruntukan diluluskan, kerja-kerja pembinaan akan bermula dan dijangka mengambil masa kira-kira empat tahun untuk disiapkan.
"Kita sudah angkat dan menunggu kelulusan. Insya-Allah kita akan pecahkan kepada tiga fasa. Peruntukan tersebut memang besar kerana ada jambatan termasuk pengambilan tanah dan sebagainya.
"Untuk pengetahuan semua, projek ini dijangka siap dalam tempoh empat tahun dan mungkin pada Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16) ia boleh digunakan," katanya kepada pemberita dalam Program Ramah Mesra dan Santuni Saudaraku di Kampung Orang Asli Hulu Semeii di sini.
Sementara itu Abdul Rahman menjelaskan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) telah bersiap sedia untuk menghadapi kemungkinan banjir monsun timur laut.
"Kementerian Kerja Raya memppunyai kira-kira 2,580 jentera termasuk kenderaan lori, jentera berat, jentolak dan sebagainya. Semuanya akan digunakan untuk mengatasi masalah pembetung terseumbat, cerun runtuh dan sebagainya.
"Sebenarnya ini salah satu prosedur yang dilakukan oleh KKR supaya kita bersedia dengan sebarang kemungkinan," katanya.
LTU atau sebelum ini dikenali sebagai Lebuhraya Central Spine Road (CSR) menghubungkan Kuala Krai, Kelantan ke Persimpangan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) di Bentong, kini sedang dalam pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2026.
(Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad)