fb fb fb fb fb

LTSAH kembali beroperasi hari ini

Foto Fail/BERNAMA

ALOR SETAR, 9 Disember- Lapangan Terbang Sultan Abdul Halim (LTSAH), Kepala Batas, Alor Setar yang ditutup akibat banjir sejak 10 hari lalu, kembali beroperasi hari ini.

Pengurusnya, Ikram Alif Mansoor berkata sejumlah 14 penerbangan keluar dan masuk dijadual melalui LTSAH, membabitkan laluan domestik dari Kuala Lumpur, Subang dan Johor Bahru.

Menurutnya, LTSAH dijadual menerima 14 penerbangan membabitkan tujuh ketibaan dan tujuh pelepasan perjalanan termasuk pesawat Batik Air yang memulakan operasinya hari ini.

Jelas Ikram, setakat pagi tadi, semua penerbangan berjalan lancar dan mengikut jadual ditetapkan.

Berhubung isu landasan, pihaknya memaklumkan kakitangan MAB akan sentiasa melakukan pemeriksaan bagi memastikan ia berada dalam keadaan baik dan mengikut syarat ditetapkan.

"Selepas buat pembersihan dan pemeriksaan peralatan dan logistik, alhamdulillah, kita mengesahkan operasi LTSAH kembali bermula 9 Disember iaitu hari ini.

Semua dalam keadaan baik. Kami masih membuat pemantauan dan sentiasa bersiap siaga terhadap sebarang situasi. Untuk sekarang, semuanya baik," kata Ikram kepada pemberita, hari ini, di sini.

Seramai 80 kakitangan Malaysia Airport Berhad (MAB) turut bertugas memastikan kelancaran penerbangan dan keselamatan penumpang di LTSAH.

Dalam kejadian banjir yang melanda Kedah pada 29 November lalu, kawasan sekitar Kepala Batas termasuk landasan utama LTSAH dinaiki air, menyebabkan lapangan terbang terbabit ditutup sepenuhnya.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM