fb fb fb fb fb

Cuaca buruk, Sultan Abdullah titah semua pihak bersiap siaga

Foto BERNAMA

TEMERLOH, 9 Disember- Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar pihak kerajaan Pahang dan rakyat jelata bersedia menghadapi sebarang kemungkinan berikutan ramalan cuaca menjangkakan hujan turun secara berterusan di Pahang sehingga 14 Disember ini.

Al-Sultan Abdullah bertitah semua pihak perlu berhati-hati dan cakna dengan persekitaran khususnya mereka yang tinggal berdekatan sungai dan tali air kerana kawasan itu mudah dinaiki air.

"Ramalan cuaca telah menyatakan bahawa minggu ini mungkin hujan berterusan. Mungkin ada air pasang, paras air laut pun meningkat.

Kita berdoalah supaya keadaan cuaca lebih baik dan banjir tidak teruk di negeri Pahang," titah baginda selepas berkenan berangkat pada Majlis Penyerahan Rumah Rakyat Al-Sultan Abdullah (Ru'Rasa) Daerah Temerloh di Kampung Lada, di sini.

Tambah baginda, rakyat perlu sama-sama berdoa agar cuaca bertambah naik dan musibah banjir tidak berlaku dengan teruk.

Selain harta benda, perkara paling diutamakan ketika bencana  ialah keselamatan nyawa yang perlu dijaga.

Sementara itu, baginda mengulas lanjut berkait majlis hari ini, sebanyak 790 unit rumah meliputi fasa satu, dua dan tiga dibina bagi membantu golongan miskin di Pahang.

Bagi fasa kedua, ia melibatkan pembinaan sebanyak 260 unit rumah dan setakat ini, hanya dua buah rumah telah siap untuk dihuni.

Pembinaan rumah dengan kerjasama negara Emiriah Arab Bersatu (UAE) atas dasar persaudaraan itu dijangka akan berterusan dalam usaha membantu golongan memerlukan di Pahang.

Salah seorang penerima rumah berkenan, Suzaini Bachik, 48, berkata dia amat terharu dan gembira kerana terpilih untuk menghuni kediaman itu.

"Bangga dan bertuah dapat semua daripada Tuanku. Rumah yang saya tak sangka atas nama saya sendiri sebab, sebelum ini saya duduk rumah mertua.

27 tahun penantian yang saya harapkan suatu hari dapat rumah sendiri berhasil," kata Suzaini kepada pemberita.

Suzaini yang merupakan seorang suri rumah dan ibu tunggal berkata dia tidak memiliki pendapatan tetap untuk membina rumah baharu selepas rumah dihuni bersama lima anaknya musnah dibadai ribut pada 25 Mei tahun lalu.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM