ALOR SETAR, 9 Disember - Seorang lelaki berusia 33 tahun yang dilaporkan hilang ketika memukat ikan di Sungai Tajar, Kampung Gelam, Jalan Datuk Kumbar, telah ditemukan lemas petang semalam.
Mayat Mohd Fauzi Omar ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) kira-kira pukul 2.50 petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar Timbalan Penguasa Bomba II Ahmad Naufal Abdullah berkata, mayat mangsa ditemui separa terapung pada jarak kira-kira 100 meter dari lokasi mangsa dilaporkan tenggelam.
Mayat mangsa dibawa ke daratan menggunakan bot pasukan bomba sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
"Dalam kejadian semalam, mangsa bersama rakannya dipercayai turun ke sungai berkenaan untuk memasang pukat ikan.
"Bagaimanapun, mangsa dipercayai lemas ketika cuba berenang ke daratan sebelum rakannya menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan," kata Ahmad Naufal.
Operasi SAR turut disertai Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jitra dan Sungai Petani serta Polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).