fb fb fb fb fb

Lorong kiri dan kecemasan antara Tapah ke Bidor ditutup

Foto hiasan

KUALA LUMPUR, 27 Julai- Lorong kiri dan kecemasan antara Tapah ke Bidor di kilometer 335.7 hingga 336.6 arah selatan di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) akan ditutup bermula 29 Julai hingga 23 Ogos depan.

PLUS dalam satu kenyataan memaklumkan, penutupan laluan kepada semua kenderaan itu berikutan pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan jalan.

"Ia bagi memberi laluan kerja-kerja turapan konkrit secara berperingkat pada setiap hari Isnin hingga Jumaat sepanjang tempoh tersebut.

"Namun lorong kanan di laluan terbabit masih boleh digunakan oleh semua kenderaan," katanya.

Sementara itu, bagi pengguna yang menghala ke selatan dinasihatkan untuk merancang perjalanan dengan menggunakan aplikasi PLUS bagi mendapatkan maklumat trafik terkini.

"Pengguna juga dinasihatkan supaya mematuhi semua papan tanda trafik serta arahan yang dikeluarkan ketika melalui kawasan terbabit," tambah kenyataan itu.

Bagaimanapun pengguna lebuh raya boleh menghubungi PLUSLine menerusi talian 1800-88-0000 untuk mendapatkan maklumat trafik atau bantuan apabila berlaku kecemasan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI